Wednesday, April 15, 2009

Tunku Abdul Rahman


Y.T.M. Tunku Abdul Rahman Putra Al-Haj telah dilahirkan di Istana Tiga Tingkat, Alor Setar, Kedah pada 8 Februari 1903. Beliau anak kedua puluh kepada Sultan Abdul Hamid Halimshah, Sultan Kedah yang ke-24. Bonda Tunku ialah Che' Menjalara anak kepada Luang Nara Borirak, Ketua Mataban, di Negara Thai.


Tunku memulakan persekolahan formal ketika berumur enam tahun, mula-mula di sekolah Melayu di Alor Setar, kemudian di Government English School. Ketika berumur sepuluh tahun Tunku telah dihantar ke Bangkok untuk tinggal bersama kakanda sulungnya Tunku Yusuf dan belajar di Sekolah Debsurin. Pada tahun 1915, setelah Tunku Yusuf pulang ke rahmatullah Tunku telah kembali ke Kedah dan meneruskan persekolahannya di Penang Free School.
Tunku telah melanjutkan pengajian di St. Catherine College, Universiti Cambridge pada tahun 1920 dengan biasiswa Negeri Kedah. Di sanalah Tunku pertama kali mengalami diskriminasi kaum. Permohonannya untuk tinggal di dalam kolej itu ditolak disebebkan warna kulit. Kemudian, setelah diketahui beliau anak raja, beliau ditawarkan tempat tinggal di kolej itu, tetapi berdasarkan prinsip beliau telah menolak tawaran itu dan tinggal di bilik sewa sepanjang kursusnya.

Beliau berjaya mendapat ijazah sarjana muda dalam undang-undang dan sejarah dari Universiti Cambridge pada tahun 1925. Pada tahun 1926, dengan sifat kepimpinan dan semangat kebangsaan yang mula berkobar-kobar, Tunku telah mengusahakan penubuhan Kesatuan Melayu Great Britain dan beliau dilantik menjadi Setiausaha pertamanya.
Pada tahun 1947, didorong oleh keazaman yang kuat Tunku ke England untuk menghabiskan pelajarannya di Inns of Court. Beliau berjaya mendapat kelayakan undang-undang dan pulang ke Kedah. Pada tahun 1949 Tunku telah dilantik menjadi Ketua Pertubuhan Kebangsaan Melayu Bersatu (UMNO) Bahagian Kedah dan pada 26 Ogos 1951 Tunku telah menggantikan Dato' Onn Jaafar menjadi Yang di Pertua UMNO.


Semasa menjadi Presiden UMNO Tunku telah berusaha menyelesaikan masalah politik di Tanah Melayu dengan mendapatkan kerjasama daripada semua kaum dan hasilnnya telah tertubuh Parti Perikatan yang terdiri daripada UMNO, MCA dan MIC.
Setelah pilihanraya umum yang pertama diadakan di negara ini pada bulan Julai 1955, di mana Parti Perikatan telah memenangi 51 daripada jumlah 52 buah kerusi yang dipertandingkan Tunku dilantik menjadi Ketua Menteri dan Menteri Dalam Negeri.
Pada tahun 1956 Tunku mengetuai rombongan ke London untuk berbincang dengan Kerajaan British bagi mendapatkan kemerdekaan untuk Tanah Melayu. Rundingan ini berjaya mendapat persetujuan British dan tarikh 31 Ogos 1957 telah ditetapkan sebagai tarikh kemerdekaan.


Pada tahun 1961, dalam satu majlis makan tengah hari dengan wartawan asing di Singapura, Tunku telah mengumumkan bahawa Tanah Melayu akan mengadakan satu persefahaman dengan Britain, Singapura, Sabah dan Sarawak untuk menubuhkan negara Malaysia. Penubuhan Malaysia yang terdiri daripada Persekutuan Tanah Melayu, Singapura, Sabah dan Sarawak telah diisytiharkan pada 16 September 1963. Bagaimanapun Singapura meninggalkan Malaysia pada 9 Ogos 1965.
Pada 22 September 1970 Tunku, dalam keadaan teramat sedih kerana Tragedi 13 Mei 1969, meletakkan jawatan dan Tun Abdul Razak menjadi Perdana Menteri Malaysia yang kedua.

No comments:

Post a Comment